fb fb fb fb fb

Program Jualan Rakyat MyGrocer@Wilayah tumpu 19,000 penduduk B40 di Labuan

(Program Jualan Rakyat MyGrocer@Wilayah diharap dapat meringankan kos sara hidup rakyat)

LABUAN, 26 Julai- Program Jualan Rakyat MyGrocer@Wilayah bakal memberi manfaat kepada 19,000 penduduk dalam kalangan B40 di Labuan, untuk mendapatkan sumber protein seperti ayam dan telur ayam.

Pengerusi Perbadanan Labuan, Senator Datuk Bashir Alias berkata, dengan peruntukan berjumlah RM399,000, jualan itu mampu meringankan kos sara hidup rakyat, sekali gus membela nasib Keluarga Malaysia.

"Program tersebut akan berlangsung selama 6 bulan dari tarikh hari ini dan kita jangkakan inilah program yang akan membantu golongan B40 dalam memperoleh bahan protein seperti ayam dan telur.

"Untuk bekalan ayam, Perbadanan Labuan akan sediakan RM3 bagi satu kupon untuk pembelian seekor ayam dan untuk pembelian telur melebihi 10 biji akan mendapat kupon diskuan 50 sen," kata Bashir selepas pelancaran Program Jualan Rakyat MyGrocer@Wilayah peringkat Labuan, bertempat di Pasar Sentral Labuan di sini.

(Senator Datuk Bashir (dua dari kiri) selepas pelancaran Program Jualan Rakyat MyGrocer@Wilayah
peringkat Labuan, bertempat di Pasar Sentral Labuan)

Program inisiatif Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Perbadanan Labuan dan Yayasan Wilayah Persekutuan ini, memfokuskan jualan barangan sumber protein utama bersubsidi iaitu ayam dan telur ayam, agar rakyat dapat berbelanja pada harga yang lebih rendah.

Setiap wakil isi rumah B40 warga Malaysia akan diberi kupon, untuk digunakan di 18 kedai rakan strategik dan peniaga ayam di Pasar Sentral Labuan.

Media Baharu