
KANGAR, 28 Februari -Program Jom Jadi Cikgu 2026 diteruskan lagi bagi edisi ke-3, dengan penyertaan lebih 600 pelajar lepasan sekolah.
- Program Jom Jadi Cikgu 2026 edisi ke-3 tarik lebih 600 lepasan sekolah, termasuk SPM, STPM, STAM dan Matrikulasi.
- Program beri panduan permohonan ke IPG, pendedahan pengkhususan, taklimat dan interaksi dengan tenaga pengajar.
- Peserta akan ditempatkan di 27 kampus IPG seluruh Malaysia untuk memenuhi keperluan guru sekolah rendah.
Selain lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), penganjuran kali ini turut memberi peluang kepada lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Matrikulasi. Program ini bertujuan memberi panduan permohonan ke IPG serta pendedahan kepada bidang pengkhususan yang ditawarkan.
Timbalan Rektor Pusat Hal Ehwal Pelajar Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Dr. Shamsul Saniron berkata, ia selari dengan peluasan pengambilan guru baharu, bagi memenuhi keperluan sekolah rendah.
“Kita akan menempatkan mereka di 27 kampus di seluruh Malaysia. Daripada 27 kampus itu, empat terletak di zon Sabah, empat di zon Sarawak, manakala selebihnya di Semenanjung. Ini bermakna permohonan tidak semestinya memastikan penempatan di sini sahaja, kerana IPG mempunyai kepakaran dan keistimewaan sendiri di setiap kampus,” katanya kepada pemberita, di sini.
Selain sesi taklimat dan bimbingan permohonan, peserta turut berpeluang berinteraksi dengan tenaga pengajar, bagi memahami cabaran dan peluang dalam profesion keguruan.
“Saya berhasrat untuk mendidik anak bangsa agar menjadi individu yang dapat membanggakan negara, serta melahirkan generasi yang berintegriti, berpendirian teguh, dan memiliki jati diri yang kukuh,” pelajar lepasa SPM, Mohamad Haziq Najmil Mohamad Hafiz.
“Saya rasa mahu mengambil subjek Bahasa Inggeris kerana itu merupakan kekuatan saya; saya memang kuat dalam Bahasa Inggeris,” pelajar lepasan SPM, Muhammad Izzat Faez Abdul Shukri.