Program Jiwa MADANI ATM: MINDEF peruntuk RM850,000 laksana 17 projek di Melaka

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

MELAKA, 27 Januari – Kementerian Pertahanan (MINDEF) memperuntukkan RM850,000 bagi melaksanakan 17 projek di bawah Program Jiwa MADANI di seluruh negeri Melaka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program Jiwa MADANI laksanakan 17 projek di seluruh Melaka dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia dan penduduk setempat.
  • Inisiatif ini sebahagian usaha Pertahanan Menyeluruh dan Kerjasama Awam-Tentera untuk tingkatkan kesedaran komuniti.
  • Salah satu fokus tahun ini ialah baik pulih pagar tanah perkuburan Kampung Cheng dengan peruntukan RM50,000.
  • ATM membuka ruang kerjasama dengan kerajaan negeri untuk laksana projek fizikal dan kurangkan kos.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, projek di bawah program tersebut diadakan secara gotong royong dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama penduduk setempat.

Katanya program itu antara usaha kementerian untuk melaksanakan Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) atau Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) yang bertujuan meningkatkan kesedaran komuniti terhadap peranan bersama dalam mempertahankan kedaulatan negara.

“Projek yang dilaksanakan ini akan memberi tumpuan salah satu daripadanya untuk tahun ini iaitu membaik pulih pagar bagi kawasan tanah perkuburan di Kampung Cheng dengan peruntukkan
RM50,000.

“Jadi ada 17 projek di Melaka melibatkan peruntukkan RM850,000 yang melaksanakan projek yang memberi manfaat kepada masyarakat dan dilaksanakan secara bergotong-royong ATM serta masyarakat,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Jiwa Madani (PJM) Kementerian Pertahanan Tahun 2026 di Masjid An-Najwan, Cheng.

Dalam pada itu, Datuk Seri Mohamed Khaled berkata ATM sentiasa membuka ruang kerjasama dengan kerajaan negeri untuk melaksanakan projek fizikal dalam usaha mengurangkan kos.