Program Ilham Seni Diraja peluang pelajar B40 teroka bakat seni, budaya

200 pelajar sekolah terpilih menyertai Program Ilham Seni Diraja kebudayaan membuat persembahan pada Majlis Pelancaran Program Ilham Seni Diraja/ BERNAMA

KUALA LUMPUR 29 Januari Program rintis, Program Ilham Seni Diraja disifatkan sebagai manifestasi keprihatinan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofia terhadap kebajikan serta masa depan pelajar sekolah daripada golongan B40, khususnya dalam menyediakan ruang pembangunan diri melalui seni dan budaya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program Ilham Seni Diraja buka peluang kepada pelajar B40 meneroka bakat seni dan budaya di luar kurikulum sekolah.
  • Program menekankan pembentukan disiplin, komitmen dan nilai kebersamaan antara pelajar berbagai kaum.
  • Inisiatif ini menarik sokongan penaja dan diharap galakkan penglibatan swasta serta agensi dalam pembangunan generasi muda.

Koordinator Program Ilham Seni Diraja, Datuk Azuan Effendy berkata, program berkenaan merupakan ilham peribadi Raja Permaisuri Agong yang mahu melihat pelajar daripada latar belakang kurang berkemampuan diberi peluang sama rata untuk meneroka bakat dan potensi diri.

“Program perintis ini melibatkan seramai 200 pelajar daripada tujuh buah sekolah sekitar Kuala Lumpur, termasuk 40 pelajar dari Sekolah Tunas Kasih Chow Kit, yang kebanyakannya daripada keluarga berpendapatan rendah,” katanya selepas Majlis Pelancaran Program Ilham Seni Diraja di Istana Negara di sini hari ini.

Program berkenaan diwujudkan sebagai pelengkap kepada sistem persekolahan sedia ada tanpa mengganggu kurikulum atau takwim sekolah, sebaliknya menawarkan pendedahan tambahan dalam bidang seni dan budaya.

“Pelajar terlibat diberi peluang mendalami pelbagai cabang kesenian seperti lakonan, nyanyian, tarian serta bidang kreatif lain termasuk rekaan set, grafik dan seni visual, dengan bimbingan penggiat seni berpengalaman,” katanya lagi.

Selain mengasah bakat, program tersebut turut menekankan pembentukan disiplin, komitmen serta nilai kebersamaan dalam kalangan pelajar pelbagai kaum dan latar belakang, seiring hasrat Raja Permaisuri Agong untuk memupuk jati diri dan perpaduan generasi muda.

Persembahan sulung yang dipamerkan para pelajar pada majlis pelancaran hari ini membuktikan potensi besar yang dimiliki peserta walaupun hanya menjalani latihan singkat kurang dua minggu.

Sementara itu penaja Program Ilham Seri Diraja, Tan Sri Vincent Tan menyifatkan ia memberi peluang kepada anak-anak daripada keluarga B40 untuk mengakses kelas seni seperti muzik dan tarian, sekali gus mengembangkan bakat dan kreativiti para peserta.

“Program ini membuka peluang kepada pelajar yang berbakat dalam bidang seni untuk berkembang, selain membantu mengalihkan perhatian mereka daripada pengaruh negatif termasuk media sosial serta isu sosial di sekolah,” katanya.

Program Ilham Seni Diraja diharap dapat menjadi pencetus kepada penglibatan lebih meluas pihak swasta, agensi kerajaan dan masyarakat dalam usaha membangunkan generasi muda yang berdisiplin, berdaya saing serta berjati diri melalui seni dan budaya.