BANPRAKOB, 26 Ogos - Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kedah dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan Program Malaysia–Thailand: Nakhon Si Thammarat Diplomatic Tour 2025, yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir hari ini.
Pengerusi MCPF Kedah, Datuk Dr. Zulkifly Mohamad berkata, program yang disertai kira-kira 30 peserta dari Malaysia itu bertujuan mengeratkan hubungan serumpun selain memberi peluang untuk memahami budaya serta cara hidup masyarakat Islam di Thailand yang berbeza dengan Malaysia.
Selain aspek sosial, katanya, program itu turut memberi fokus kepada sektor industri, pertanian, perladangan, produk kesihatan, teknologi baharu, penternakan dan pelancongan sebagai ruang kerjasama dua hala antara Malaysia dan Thailand.
“Selain memperkukuh hubungan diplomatik antara dua negara, program ini juga menekankan aspek bantuan sesama umat Islam serta membuka peluang kerjasama perniagaan. Kami juga berpeluang bertukar pandangan bersama Gabenor Nakhon Si Thammarat mengenai potensi perniagaan yang boleh diperkasakan antara kedua-dua negara,” katanya ketika ditemui di Banprakob.
Sepanjang program tersebut, peserta turut mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Gabenor Nakhon Si Thammarat serta melawat beberapa destinasi terpilih di wilayah berkenaan.
Dalam masa sama, lebih 2,000 naskhah al-Quran disumbangkan kepada Majlis Agama Islam Nakhon Si Thammarat untuk kegunaan pengajian anak-anak Islam di wilayah tersebut.
Menurut Dr. Zulkifly, meskipun program itu membawa elemen lawatan rasmi, konsep utama penganjuran lebih berteraskan suasana santai dan persahabatan sambil membuka ruang kerjasama strategik pada masa hadapan.