fb fb fb fb fb

Program CyCORE bakal lindungi hak cipta filem digital - KPDNHEP

PUTRAJAYA, 6 Januari - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melancarkan program Cyber Copyright Enforcement (CyCORE) untuk membanteras jenayah pelanggaran hak cipta filem digital atau cetak rompak filem digital dalam medium internet.

Menterinya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi berkata, program tersebut merupakan satu kaedah terancang dikhususkan untuk penerbit atau pemilik hak cipta filem tempatan.

"Menerusinya mereka dapat bekerjasama dengan lebih 50 rakan strategik yang terdiri daripada agensi kerajaan, platform e-dagang dan penyedia perkhidmatan internet yang diselaraskan pihak kementerian," kata beliau dalam satu temu bual.

Tambah beliau, ia akan dilaksanakan melalui kaedah tindakan sekatan laman sesawang dan muat turun kandungan yang menjadi kaedah paling pantas selain berkesan dalam melumpuhkan aktiviti pengedaran cetak rompak tanpa melibatkan institusi kehakiman.

Melalui program itu juga, sasaran tindakan sekatan laman web atau penurunan kandungan adalah dalam tempoh 48 jam dari tempoh pemakluman pemilik hak cipta filem tempatan.

"Selain itu, pemilik hak cipta akan diberi tunjuk ajar dan pemahaman berhubung peranan mereka untuk membuat pengaduan dengan melaporkan terus pelanggaran hak cipta filem mereka kepada platform media sosial." katanya lagi.

KPDNHEP juga akan melaksanakan profiling jenayah kepada pihak yang disyaki melakukan kesalahan pengedaran cetak rompak filem digital di bawah peruntukan Akta Hak Cipta 1987.

 

Media Baharu