Program berskala besar sempena fenomena gerhana bulan di Bukit Bendera

Program Outreach Falak

PULAU PINANG, 3 Mac – Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang menganjurkan Program Outreach Falak sempena fenomena gerhana bulan penuh yang berlangsung malam ini di perkarangan Masjid Bukit Bendera.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program Outreach Falak dianjurkan sempena fenomena gerhana bulan di perkarangan Masjid Bukit Bendera.
  • Pengisian termasuk bengkel astrofotografi, ceramah pakar falak, pameran astronomi dan artifak falak.
  • Pelaksanaan solat sunat khusuf dan khutbah gerhana serta proses cerapan dipantau pakar falak.
  • Program bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat dan berpotensi menarik pelancong.

Program berskala besar itu menghimpunkan pelbagai pengisian ilmiah dan aktiviti menarik antaranya Bengkel Astrofotografi, Ceramah Pakar Falak, Pameran Astronomi, Pameran Artifak Falak, Podcast Falak serta pelaksanaan Solat Sunat Khusuf dan Khutbah Gerhana.

Timbalan Mufti Pulau Pinang, Mohamad Zamri Mohamed Shafik berkata, penganjuran kali ini menampilkan pendekatan berbeza dengan matlamat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap fenomena gerhana bulan.

“Pendekatan yang digunakan bertujuan menimbulkan kesedaran tinggi dalam kalangan masyarakat mengenai fenomena gerhana. Kita mahu seluruh rakyat merasai dan menghayati kebesaran Allah SWT melalui kejadian gerhana bulan ini.

“Program seperti ini bukan sahaja menjadi platform pendidikan astronomi kepada masyarakat, malah berpotensi menjadi salah satu tarikan pelancongan,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Seawal pukul 2 petang, orang ramai termasuk pelajar dan keluarga mula hadir bagi mengikuti pelbagai aktiviti yang disediakan serta mendapatkan pendedahan berkaitan ilmu falak.

Seorang pelajar, Umar Haziq Mohamad Adzhar berkata, kehadirannya bersama rakan-rakan bertujuan menyaksikan fenomena gerhana bulan di samping menimba ilmu berkaitan falak.

“Kami datang untuk menyaksikan gerhana bulan dan pada masa sama mempelajari serba sedikit tentang ilmu falak. Terdapat pelbagai reruai pameran yang sangat informatif. Suasana di sini juga selesa dan cuaca mengizinkan,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Syahindah Sakinah Ramtaliah, melahirkan rasa teruja kerana berpeluang menyaksikan fenomena tersebut secara langsung bersama rakan-rakan di Bukit Bendera.

“ Suasana di sini sangat meriah dan mengujakan. Ini pengalaman baharu untuk kami,” katanya.

Proses cerapan gerhana bulan dilaksanakan di perkarangan Masjid Bukit Bendera dengan pemantauan pakar falak serta penggunaan peralatan astronomi yang bersesuaian.

Program tersebut turut mendapat kerjasama Jabatan Ukur dan Pemetaan Pulau Pinang, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Universiti Sains Malaysia (USM) serta MutiaraFM.