fb fb fb fb fb

Program Asyura Merdeka, erat hubungan antara komuniti

Program Asyura Merdeka, erat hubungan antara komuniti

KANGAR, 5 Ogos – Lebih 100 penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) Wang Ulu menjayakan Program Asyura Merdeka bersempena bulan kemerdekaan dan bulan Muharam mengikut kalendar Islam yang secara tidak langsung mengimbas sejarah kemerdekaan dan kisah di sebalik simbolik bubur asyura.

Bersempena program ini, dua kawah bubur asyura disediakan secara bergotong-royong oleh penduduk yang dapat menghasilkan lebih 400 pek untuk agihan penduduk setempat serta pelajar UniMAP.

Pengerusi Persatuan Penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) Wang Ulu, Hashimah Ismail dalam kenyataannya memaklumkan, inisiatif pelaksanaan program memberikan impak besar kepada suasana harmoni dalam kalangan penduduk, selain mewujudkan ukhuwah yang erat dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

Selain bubur asyura, program yang berlangsung pada sambutan Bulan Kebangsaan ini juga lebih meriah dan menonjolkan nilai patriotisme dalam kalangan penduduk, sekali gus berbangga dapat melayari kehidupan dalam suasana aman dan makmur selepas 67 tahun negara mencapai kemerdekaan.

Beliau memaklumkannya pada Program Asyura Merdeka di PPR Wang Ulu, dijayakan dengan kerjasama Aspirasi Prihatian Malaysia dan Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia.

Bersempena Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang, PPR Wang Ulu dan Aspirasi Prihatin Malaysia akan melaksanakan pelbagai program patriotik termasuklah menjayakan Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang.

ROSLINA BINTI DIN