fb fb fb fb fb

Program Aspirasi Kampung Sejahtera perkasakan komuniti luar bandar

KUALA LUMPUR, 26 Julai- Kelestarian kampung dan komuniti luar bandar akan terus diperkasakan dan dipulihara menerusi pelaksanaan program Aspirasi Kampung Sejahtera yang dilancarkan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kampung akan dibangunkan menerusi program komprehensif pembangunan sosioekonomi bagi mewujudkan komuniti berdaya tahan, berinisiatif, berdikari dan berilmu.

Selain membangunkan kesejahteraan kampung inisiatif itu juga berpotensi menjadi satu tarikan kepada industri pelancongan.

"Usaha ini melibatkan kampung, rumah panjang, kampung Orang Asli dan kampung tradisional di seluruh negara.

"Ia akan mewujudkan kampung yang mempunyai infrastruktur lengkap dalam pelbagai aspek seperti kemudahan asas, pasaran, kesihatan, pendidikan, modal insan, keusahawanan dan sosial." kata Mahdzir ketika berucap di Majlis Pelancaran Aspirasi Kampung Sejahtera di ibu negara.

(Datuk Seri Mahdzir berucap pada Majlis Pelancaran Aspirasi Kampung Sejahtera)

Pertandingan Aspirasi Kampung Sejahtera (PAKS) dianjurkan bagi mengenal pasti kampung yang berpotensi diketengahkan dan bersesuaian dengan konteks Aspirasi Kampung Sejahtera.

Terdahulu Mahdzir mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Antara Menteri Pembangunan Luar Bandar dengan EXCO Pembangunan Luar Bandar (MEXCLUB) Kali Ke-54.

Media Baharu