fb fb fb fb fb

Presiden Turkmenistan diberi sambutan rasmi di Perdana Putra

Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedow memeriksa Kawalan Kehormatan terdiri daripada 103 anggota dan tiga pegawai dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

PUTRAJAYA, 19 Disember- Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedow diberi majlis sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra di sini hari ini.

Berdimuhamedow dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Malaysia tiba semalam untuk lawatan sejak memegang jawatan pada Mac 2022.

Ketibaan beliau disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pukul 9.00 pagi, sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Beliau kemudian memeriksa Kawalan Kehormatan terdiri daripada 103 anggota dan tiga pegawai dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, anggota Kabinet, diplomat asing dan pegawai kanan kerajaan.

Berdimuhamedow kemudian dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan isu dua hala termasuk perdagangan dan pelaburan, kerjasama minyak dan gas, pendidikan tinggi, pelancongan serta keterhubungan.

Kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, termasuk Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Perdagangan antara Malaysia dan Turkmenistan menunjukkan pertumbuhan ketara buktinya Januari hingga Oktober 2024, jumlah dagangan melonjak 74.8 peratus kepada RM63.28 juta (US$13.90 juta) berbanding RM36.19 juta (US$7.91 juta) dalam tempoh sama pada tahun lepas.

Pada 2023, Turkmenistan merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Tengah dengan jumlah perdagangan RM48.62 juta (US$10.57 juta).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI