KUALA LUMPUR, 12 April- Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyampaikan sumbangan bernilai RM120,000 kepada kumpulan pengamal media yang kurang berkemampuan.
Menurut Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, melalui dana pemegang wakalah, seramai 400 kakitangan pengamal media yang kurang berkemampuan menerima sumbangan bernilai RM200 seorang manakala lapan badan kebajikan media menerima RM5,000.
Tambahnya, kumpulan media merupakan perantara PPZ-MAIWP dengan masyarakat selain membantu urusan hebahan berhubung ibadah zakat.
"Saya amat berterima kasih kepada pengamal media yang telah membuat pelbagai liputan berhubung pemberian zakat kepada masyarakat yang tidak berkemampuan.
Dengan adanya liputan ini, lebih banyak bantuan dapat kita salurkan selain melalui kerjasama media juga, capaian kepada mereka ini lebih mudah," kata Dr. Abdul Aziz kepada pemberita semasa Majlis Iftar PPZ-MAIWP bersama media di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.
(Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman)
PPZ-MAIWP turut berharap hubungan baik antara media dapat diteruskan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat Islam di Malaysia dalam menunaikan zakat dan wakaf.
Majlis turut dihadiri oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman dan sembilan wakil media.