TITI TINGGI, 15 November-Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka awal pagi semalam di Dewan Orang Ramai Kampung Titi Tinggi Hilir ditutup kira-kira jam 8.30 pagi ini.
Menurut Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Mohd Daud, kesemua lima keluarga melibatkan lapan orang mangsa terakhir yang berada di PPS berkenaan dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing setelah banjir surut sepenuhnya.
Sebelum ini Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Titi Tinggi Hilir menempatkan 14 keluarga melibatkan 46 orang mangsa dari Kampung Titi Tinggi Hilir setelah kediaman masing-masing ditenggelami banjir.
Agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana akan terus memantau keadaan semasa berikutan cuaca yang tidak menentu ketika ini.