fb fb fb fb fb

PPS di Johor tutup, jumlah penduduk terjejas banjir di dua negeri tidak berubah

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Januari- Satu pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir yang menempatkan 29 penduduk terjejas banjir daripada sembilan keluarga di Kota Tinggi, Johor ditutup, manakala jumlah mangsa di Terengganu dan Pahang tidak berubah pagi ini.

Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), jumlah penduduk terjejas di Terengganu kekal 473 orang daripada 157 keluarga di dua PPS di Dungun.

Keadaan sama turut dicatat di Pahang yang masih menempatkan 22 orang daripada lima keluarga di sebuah PPS di Rompin.

Dalam pada itu, tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapati paras air beberapa sungai di Johor, Kedah, Pahang, Perlis, Sabah dan Terengganu berada pada tahap bahaya.

Sungai terlibat ialah Sungai Johor di Kota Tinggi, Sungai Kedah di Kota Setar (Kedah), Sungai Rompin dan Sungai Pahang di Bera serta Cameron Highlands dan Rompin di Pahang, Sungai Arau (Perlis), Sungai Kinabatangan (Sabah), dan Sungai Dungun serta Sungai Terengganu di Hulu Terengganu (Terengganu).

NADMA turut memaklumkan 18 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak serta jalan dan cerun runtuh antaranya Jalan Petri Jaya di Kota Tinggi, Jalan Sungai Lembing, Pahang dan Jalan Sungai Sok - Chucuh Puteri di Kuala Krai, Kelantan.

ZEHRA BINTI ZAMBRI