PPK bantu penduduk pedalaman Sarawak dapat dokumen pengenalan

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR, 21 Januari – Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan kerjasama Kerajaan Sarawak terus komited membantu penduduk di kawasan pedalaman negeri Sarawak yang masih belum memiliki dokumen pengenalan diri menerusi penubuhan Pasukan Petugas Khas (PPK).

RINGKASAN BERITA AI
  • PPK ditubuhkan bantu penduduk pedalaman Sarawak dapat dokumen pengenalan diri.
  • Pasukan turun padang ke rumah panjang, guna kenderaan 4x4, bot dan helikopter untuk capai kawasan sukar.
  • 13,224 permohonan dikumpul; 12,509 diputuskan, 715 masih dalam proses.
  • Tempoh PPK dilanjutkan hingga 31 Disember 2025 untuk selesaikan baki permohonan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pasukan itu berperanan mengumpul dan memproses permohonan penduduk pedalaman yang berdepan kekangan akses geografi, termasuk kawasan yang hanya boleh dihubungi menggunakan kenderaan pacuan empat roda, bot merentasi arus deras serta helikopter.

“PPK berada sepenuhnya bawah Jabatan Premier Sarawak dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membantu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melalui inisiatif Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR). Pegawai tidak hanya menunggu di pejabat, sebaliknya turun ke lapangan termasuk ke rumah panjang untuk mencari individu yang tidak memiliki dokumen.

“Hasilnya, dari Julai 2023 hingga Julai 2025, sebanyak 13,224 permohonan telah dikumpulkan dan 12,509 daripadanya telah diputuskan. Ketika ini, baki 715 permohonan masih dalam proses dan perlu diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Saratok Datuk Ali Biju berkenaan status terkini pengeluaran dokumen individu tanpa kewarganegaraan sah (stateless) di pedalaman Sarawak di Dewan Rakyat, hari ini.

Datuk Seri Saifuddin menjelaskan bahawa inisiatif tersebut mula dilaksanakan pada Julai 2023 susulan keputusan Jemaah Menteri pada Oktober 2021.

PPK beroperasi bawah Jabatan Premier Sarawak dengan sokongan KDN dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), menerusi pendekatan turun padang tanpa bergantung kepada prosedur birokrasi konvensional.

Tempoh sah pelaksanaan PPK yang sepatutnya tamat pada Julai 2025 kini dilanjutkan sehingga 31 Disember 2025, hasil persetujuan bersama KDN dan Kerajaan Sarawak, bagi memastikan baki permohonan dapat diselesaikan sepenuhnya.