fb fb fb fb fb

Polis terima 305 laporan mangsa ribut dan puting beliung di Ipoh

IPOH, 2 Februari - Polis menasihatkan mangsa kejadian ribut dan puting beliung di sekitar Ipoh, Perak, yang masih belum membuat laporan polis supaya segera berbuat demikian di balai polis berhampiran.

Ia bagi memudahkan mereka membuat tuntutan dan mendapatkan bantuan kerajaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan berkata, setakat ini, pihak polis telah menerima 305 laporan.

Jelas beliau, tiada kecurian harta benda dilaporkan dan pasukan keselamatan berjaya mengawal keadaan dengan rondaan termasuk oleh kereta peronda polis (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal di lokasi-lokasi terjejas.

Selain itu, polis turut membuat kawalan bagi mengelak kejadian mencuri besi dan zink rumah yang diterbangkan angin ribut dan puting beliung.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Penyampaian Sumbangan Skuad Musa'adah Keluarga Malaysia Agensi di Bawah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kepada mangsa ribut dan puting beliung di Pusat Pemindahan Sementara Dewan Tawas, di sini hari ini.

Ratusan rumah di beberapa kawasan di Ipoh, iaitu Taman Desa Seri Chepor, Kampung Tawas, Taman Tasek Damai dan Kampung Seri Klebang Tambahan Jaya, terkesan dengan kejadian ribut dan puting beliung yang berlaku Ahad lalu.

Media Baharu