fb fb fb fb fb

Polis siasat video gaduh libatkan peniaga rebut pelanggan

FOTO RTM

KOTA BHARU, 8 November-Polis Kelantan mengesahkan menerima dua laporan bersabit kejadian pergaduhan melibatkan beberapa lelaki dan wanita susulan video tular pergaduhan di kawasan gerai makan laman Pasar Siti Khadijah di sini.

Video berdurasi 1 minit 22 saat itu memaparkan kejadian pergaduhan antara beberapa orang lelaki termasuk wanita sambil dileraikan oleh orang ramai tular di aplikasi 'WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Assistant Komisioner Polis ACP Mohd Rosdi Daud dalam kenyataan media hari ini berkata, laporan berkenaan dibuat pada pukul 8.03 malam tadi berkaitan kejadian berkenaan yang dikatakan berlaku pada petang Selasa.

Menurut Mohd Rosdi, siasatan mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada isu berebut pelanggan di antara peniaga-peniaga gerai makan di situ.

Kedua-dua belah pihak telah datang ke balai polis di sini untuk membuat laporan polis namun, menarik balik laporan tersebut beberapa jam kemudian.

Jelas ACP Mohd Rosdi, walaubagaimanapun, pihak polis tetap meneruskan siasatan dan akan mengesan serta menangkap suspek terlibat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang mana jika disabitkan dengan kesalahan semua yang terlibat boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dikenakan denda atau dengan kedua-duanya sekali.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD