
RAUB, 26 Februari – Polis telah mengenal pasti identiti lima sekeluarga yang maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong, awal pagi tadi.
- Identiti lima sekeluarga yang maut dikenal pasti termasuk ibu bapa dan tiga anak perempuan.
- Dua anak lain tidak berada di rumah semasa kebakaran kerana menetap di asrama.
- Rumah musnah sepenuhnya; tiga kereta dan tiga motosikal turut dimusnahkan, kerugian dalam siasatan.
Mangsa ialah Mohd Alawi Muhammad, 56, isterinya, Zaleha Adam @Ibrahim, 44, serta tiga anak mereka, iaitu Ruby Adira Batrisya Mohd Alawi, 17, Ruby Adlina Banin Mohd Alawi, 14, dan Ruby Azyan Barizah Mohd Alawi, 10.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, ketika kejadian dua lagi anak pasangan itu tiada di rumah kerana menetap di asrama.
“Mereka ialah Ruby Adalia Balqis Mohd Alawi, 19, pelajar Kolej Matrikulasi Gambang, Kuantan dan Ahmad Balia Murqam Mohd Alawi, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, rumah berkenaan musnah sepenuhnya dalam kebakaran itu dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Kebakaran berkenaan turut memusnahkan tiga kereta dan tiga motosikal.