fb fb fb fb fb

Polis Kelantan pergiat aktiviti perisikan, kekang aktiviti penyeludupan

Foto Fail

RANTAU PANJANG, 10 Januari- Aktiviti perisikan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan akan dipergiat sepanjang tahun ini, dalam usaha mengekang penyeludupan haram termasuk dadah dan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata ia akan dilakukan menerusi penyelarasan bersama agensi penguatkuasaan sempadan lain iaitu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain berkerjasama dengan kerajaan tempatan.
 
Jelas beliau, beberapa pendekatan dalam pelaksanaan operasi dan strategi, juga akan diubah sesuai dengan keadaan semasa.
 
"Pendekatan itu mungkin berubah berdasarkan apa yang dibuat oleh musuh kita. Mungkin pengedaran dadah berbeza, beras berbeza supaya boleh dapatkan satu tindakan bersama yang berkesan," kata Muhammad kepada pemberita dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersama Agensi Penguat Kuasa Sempadan di Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am (PGA) Lubok Stol, di sini.
 
Hadir sama, Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar.
 
Dalam perkembangan berasingan, Datuk Muhammad Zaki berkata hanya satu laporan diterima polis negeri itu berhubung dakwaan wujud gerakan “Langkah Dubai” untuk menggulingkan kerajaan dibuat penulis blog kontroversi, Raja Petra Kamarudin.
 
Laporan tersebut dibuat oleh seorang ketua pemuda sebuah parti di negeri itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah, kelmarin.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM