(Anwar Ibrahim)
NIBONG TEBAL, 16 Julai- Peruntukan sebanyak RM7 juta diluluskan Kerajaan Persekutuan untuk projek pembangunan semula Masjid Lama Sungai Bakap yang dianggarkan menelan kos sehingga RM20 juta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu sebagai tambahan kepada jumlah RM2 juta yang berjaya dikumpul oleh kariah masjid setakat ini.
Kompleks masjid baru itu nanti akan dapat menampung sehingga 1500 jemaah, sebuah Sekolah Agama Rakyat dengan 10 bilik darjah, sebuah dewan serbaguna dan kawasan pakir kenderaan.
“Hari ini saya luluskan RM7 juta. Jadi, dengan RM9 juta ini, kita boleh mula (projek). Saya sudah panggil Pengarah JKR (Jabatan Kerja Raya) negeri dan dia akan hubungi Kementerian Kewangan dalam tempoh beberapa hari ini untuk mempercepatkan proses.
“Kalau ikut tender, akan ambil masa lama. Enam bulan, sembilan bulan. Jadi, dengan cara ini, kita boleh percepat proses,” katanya ketika berucap sempena Majlis Peluncuran Pembangunan Masjid Lama Sungai Bakap di Seberang Perai Selatan, di sini.
Masjid Lama Sungai Bakap dibina sekitar tahun 1950 an dan kini berusia hampir 73 tahun serta mempunyai sebuah bangunan Sekolah Agama Rakyat (SAR) dua tingkat dengan lapan bilik darjah.
Sementara itu, Pengerusi Kariah masjid berkenaan, Mohd Kahiry Mohd Isa dan anak kariah masjid, Suhairy Yahya menzahirkan kesyukuran atas peruntukan tersebut.
"Terutamanya saya bersyukur kepada Allah SWT. Alhamdullah kerana dapat peruntukan daripada PM (Anwar Ibrahim)," kata Mohd Kahiry.
"Alhamdullilah, saya bersyukur kerana usaha selama ini untuk mencari dana bagi pembinaan masjid baru. Kami anak kariah berasa gembira dengan pengumuman perdana menteri sebentar tadi," kata Suhairy Yahya.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.
Kos pembinaan masjid tersebut akan dibiayai bersama antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan kariah masjid.
(Anwar Ibrahim)