fb fb fb fb fb

PM ucap takziah kepada keluarga Ahmad Rejal

Allahyarham Ahmad Rejal Arbee

KUALA LUMPUR, 29 Mac- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga Tokoh Wartawan Negara 2014, Allahyarham Datuk Ahmad Rejal Arbee Mohamed Isa Arbee yang meninggal dunia, awal pagi tadi.

Beliau menyifatkan sumbangan dan buah fikiran yang dilontarkan Allahyarham Ahmad Rejal meninggalkan kesan mendalam dalam dunia akhbar dan kewartawanan di Malaysia.

Tambah Anwar, Allahyarham yang merupakan bekas Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan bekas Pengarang Kumpulan Berita Harian juga dikenali sebagai antara pengamal media terawal meneroka konsep media dwibahasa.

“Takziah saya utuskan kepada keluarga Allahyarham. Mendoakan roh Allahyarham diampunkan segala dosanya dan diberi tempat istimewa di sisi-Nya, Insya-Allah,” kata beliau menerusi Facebooknya.

Ahmad Rejal, 83, meninggal dunia kira-kira pukul 2.00 pagi tadi di Hospital Shah Alam kerana sakit tua.

Allahyarham dimasukkan ke hospital itu pada Jumaat lepas kerana terdapat jangkitan kuman pada paru-paru.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21, Shah Alam pada pukul 11.00 pagi tadi dengan hampir 200 ahli keluarga dan sahabat seperjuangan kewartawanan hadir memberi penghormatan terakhir.

Ahmad Rejal dinobatkan sebagai Tokoh Wartawan Negara 2014 sempena majlis Penganugerahan Tokoh Wartawan Negara dan Hadiah Kewartawanan Malaysia Institut Akhbar Malaysia (MPI)-Petronas 2014 sebagai menghargai sumbangan cemerlang wartawan veteran itu dalam bidang penulisan dan kewartawanan tanah air.

ARTIKEL BERKAITAN
Tokoh Wartawan, Ahmad Rejal Arbee meninggal dunia

SITI AISHAH MD ISA