PUTRAJAYA, 1 April- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyempurnakan majlis demonstrasi penggunaan Mobile Hydrogen Refueling Unit dan Kenderaan Berkuasa Hidrogen di Tapak Mobile Hydrogen Refuelling Unit Putrajaya.
Ketibaan Anwar di Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) disambut oleh Menteri MOSTI, Chang Lih Kang pada pukul 9.05 pagi tadi.
Perdana Menteri turut menaiki kenderaan tersebut buat julung kalinya dengan diiringi Chang sebelum dibawa ke bangunan Perdana Putra.
Majlis tersebut dilaksana selari pelaksanaan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR) dalam usaha memacu teknologi ke arah transisi tenaga lebih bersih berasaskan hidrogen.
Selain itu, pendedahan awal turut diberikan kepada para pemegang taruh, khususnya dalam ekosistem teknologi peralihan tenaga dan hidrogen.
Sementara itu, Chang memaklumkan Perdana Menteri rasa sangat kagum apabila mendapati kereta berkenaan sangat senyap berbanding menggunakan minyak.
Menurutnya, tidak banyak perkara dapat dibualkan memandangkan perjalanan menghantar Anwar hanya memakan masa sekitar lima minit.
"Tetapi beliau memang sedar tentang perkembangan ekosistem hidrogen di dalam negara kita," ujarnya,
Dalam pada itu, Lih Kang berkata, ekosistem kenderaan hidrogen perlu diwujudkan antara pengeluar dan pengguna.
Selain menyasarkan ekonomi hidrogen mencecah RM12 bilion pada 2030, kerajaan juga meletakkan sasaran sifar karbon menjelang tahun 2050.