IPOH, 6 Oktober- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur segelintir kelompok elit yang terlalu taksub dengan Bahasa Inggeris sehingga meremehkan penggunaan Bahasa Melayu, yang merupakan bahasa kebangsaan negara.
"Saya tidak mewakili pendapat yang mahu mengurangkan (penguasaan) Bahasa Inggeris, tetapi saya juga tidak mewakili sikap yang mempunyai fobia terhadap bahasa sendiri .
"Saya ingin mengingatkan mereka ini terlalu taksub dengan Bahasa Inggeris. Mereka mungkin dibesarkan di London, tetapi saya ingatkan mereka, hidup mereka di Malaysia, mereka mesti mewakili hasrat dan aspirasi rakyat Malaysia secara keseluruhannya," katanya.
Justeru Perdana Menteri mahu penekanan dan penguasaan Bahasa Melayu yang baik perlu diteruskan dengan komitmen lebih tinggi.
Menurut Anwar semua pihak termasuk ibu bapa bertanggungjawab terhadap masa depan anak-anak mereka termasuk memastikan pemerkasaan bahasa, sastera, dan budaya.
Sungguhpun begitu, Anwar tidak menafikan keperluan penguasaan Bahasa Inggeris atau bahasa lain, namun pada masa sama tidak boleh meminggirkan atau mengurangkan penekanan terhadap penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
"Eloklah kita tekankan bahawa apa jua jurusan persekolahan yang memberi penekanan kepada Bahasa Mandarin atau Bahasa Tamil, tidak seharusnya mengurangkan penekanan terhadap penguasaan Bahasa Melayu yang baik.
"Ini telah disepakati dan termaktub dalam Perlembagaan. Kita perlu meneruskan komitmen ini dengan lebih serius. Saya ucapkan terima kasih kepada kebanyakan sekolah yang memberikan perhatian terhadap perkara ini," katanya.
Anwar berucap merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Ipoh hari ini. Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Dr Hazami Jahari.