
KUALA LUMPUR, 14 Januari -Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia agar terus mengekalkan sikap saling memahami dan menghormati sebagai pengikat keharmonian.
- Seru rakyat kekalkan sikap saling memahami dan menghormati untuk mengekalkan keharmonian masyarakat majmuk.
- Perbezaan pandangan, latar belakang dan pendirian tidak seharusnya memisahkan masyarakat.
- Semangat kebersamaan perlu diperkasakan demi negara aman, makmur dan sejahtera.
- Ponggal disifatkan simbol kesyukuran, kebersamaan dan saling menghargai antara rakyat.
Dalam ucapan sempena Perayaan Ponggal, beliau menegaskan bahawa perbezaan pandangan, latar belakang dan pendirian tidak seharusnya menjadi pemisah dalam masyarakat berbilang kaum.
“Walaupun kita berbeza pandangan, latar belakang atau pendirian, sikap saling memahami dan menghormati kekal pengikat kepada keharmonian masyarakat majmuk serta kekuatan perpaduan negara,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.
Beliau berkata, semangat kebersamaan perlu terus diperkasakan bagi membina sebuah negara yang aman, makmur dan sejahtera.
Datuk Seri Anwar turut menyifatkan Ponggal sebagai perayaan yang melambangkan kesyukuran atas limpahan rezeki hasil tuaian, selain menandakan permulaan bulan Thai dalam kalendar Tamil.
Menurut beliau, perayaan itu juga mengingatkan rakyat tentang nilai kesyukuran, kebersamaan dan saling menghargai antara satu sama lain.
“Atas kesempatan ini, saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu Tamil dan Selamat Menyambut Perayaan Ponggal kepada seluruh masyarakat India, khususnya komuniti Tamil,” katanya.