fb fb fb fb fb

PM seru kerajaan negeri indahkan warung angkat martabat peniaga kecil

(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menemui peniaga di D'Anjung Selera Madani di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur hari ini/FOTO DBKL)

KUALA LUMPUR, 3 Jun - Semua kerajaan negeri perlu mempunyai pelan komprehensif yang jelas dalam usaha memperbaiki infrastruktur gerai makanan di seluruh negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu sebagai memberi penghormatan ihsan kepada golongan berpendapatan rendah untuk menukar wajah suram medan selera, gerai dan warung mreka secara menyeluruh.

Tambah Anwar pelaksanaan itu memerlukan kerjasama antara kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Katanya, ini seiring usaha yang sedang giat dijalankan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam menaik taraf serta mengindahkan gerai penjaja di sekitar kawasan ibu negara.

"Saya telah berbincang dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, menteri besar dan ketua menteri, agar mereka mempunyai dasar yang sama dalam membangun kemudahan medan selera, gerai atau warung yang menyumbang kepada pendapatan rakyat terbanyak.

“Saya harap dalam beberapa bulan ini kita dapat lihat kerajaan negeri dan juga majlis perbandaran berkaitan keluar dengan rencana sendiri mengenai usaha membangun kemudahan ini di seluruh negara,” katanya ketika berucap sebelum merasmikan D'Anjung Selera Madani di Bandar Tun Razak di sini hari ini.

(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan D'Anjung Selera Madani di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur hari ini/FOTO DBKL)

Anwar berkata beliau akan berbincang dengan beberapa menteri besar, ketua menteri bahawa semua kawasan termasuk di Petaling Jaya, Shah Alam, Klang, Pulau Pinang, Ipoh, Kuantan, Kota Bharu, Alor Setar harus mempunyai dasar yang jelas.

"Saya harap dalam beberapa bulan ini kita dapat melihat rencana ini dilaksanakan bukan sahaja di Kuala Lumpur, Putrajaya, atau Labuan.

"Tetapi (dasar pembangunan peniaga kecil) ini juga (perlu dilaksanakan) di Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak.

"Semua negeri ini ada rencana supaya mengangkat martabat dan memberikan penghormatan kepada golongan berpendapatan kecil," katanya.

Terdahulu, Anwar merasmikan D'Anjung Selera Madani Jalan Jujur, Bandar Tun Razak yang sebelum ini dikenali sebagai Anjung Selera Jalan Jujur, Bandar Tun Razak.

Infrastruktur di medan selera itu telah ditambahbaik oleh DBKL seperti pembinaan semula 24 gerai berkunci dan 3 unit kiosk bagi peniaga, kemudahan surau, dan tandas.

Selain itu, DBKL turut menaiktaraf rumah sampah yang lebih kondusif, penyediaan ruang bumbung yang lebih tinggi kepada pengunjung serta pembinaan ruang parkir kenderaan sebanyak 48 petak yang ditawarkan kepada persatuan peniaga.

(D'Anjung Selera Madani Jalan Jujur, Bandar Tun Razak yang sebelum ini dikenali sebagai Anjung Selera Jalan Jujur, Bandar Tun Razak/FOTO DBKL)

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengumumkan pengurangan kadar sewa asal sebanyak 50 peratus kepada RM200 berbanding RM400 sebelum ini.

Pengurangan kadar sewa itu sebagai usaha meringankan beban melibatkan 23 peniaga di premis tersebut.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah isteri beliau Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Setiausaha Negara (KSU), Tan Sri Datuk Seri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Wilayah Perskutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar dan Datuk Bandar DBKL Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh.

Media Baharu