fb fb fb fb fb

PM seru Keluarga Malaysia guna air dengan cermat, berhemah

KUALA LUMPUR, 22 Mac - Hari Air Sedunia merupakan satu peringatan kepada masyarakat dunia termasuk Keluarga Malaysia supaya lebih menghargai kepentingan air.

Ini termasuk perlu berusaha melakukan usaha-usaha pelestarian sumber air.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata air tanah dijadikan tumpuan sambutan kerana ia sangat berguna kepada kehidupan.

"Bahkan ia menjadi bahagian penting dalam proses penyesuaian perubahan iklim dan penyelesaian bagi akses kepada air selamat.

"Oleh itu saya menyeru kepada seluruh Keluarga Malaysia supaya menggunakan air dengan cermat dan penuh berhemah. Selamat menyambut Hari Air Sedunia," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Ismail Sabri berkata, Malaysia merupakan salah sebuah negara yang komited dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang bersandar kepada 17 matlamat ditetapkan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dalam Perhimpunan Agung PBB pada September 2015 untuk dicapai pada tahun 2030.

"Komitmen boleh dilihat melalui langkah-langkah untuk menerapkan strategi-strategi SDG dengan memperkenalkan Pelan Induk Teknologi Hijau (GTMP) yang dimulakan pada tahun 2017.

"Lima strategi utama juga diperkenalkan dalam RMKe-12 untuk mentransformasi sektor air negara bagi memastikan kelestariannya bagi manfaat penduduk negara ini," tambahnya.

PBB telah mengiktiraf tarikh 22 Mac setiap tahun sebagai sambutan Hari Air Sedunia.

Pada tahun ini, "Groundwater: Making the invisible visibleā€ telah dipilih sebagai tema oleh PBB.

Media Baharu