fb fb fb fb fb

PM ucap tahniah Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong

(FB Anwar Ibrahim)

KUALA LUMPUR, 4 Jun- Perdana Menteri mewakili Kerajaan Perpaduan, merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, esok.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mendoakan semoga Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agung, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan seluruh kerabat diraja sentiasa dilimpahi rahmat serta hidayah dan berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.

"Semoga baginda kekal qarar memerintah dengan adil dan saksama serta terus berada pada kedudukan paling tinggi dalam Perlembagaan negara.

"Seiring fungsi institusi diraja sebagai pelindung agama Islam dan menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan semua kaum di negara yang tercinta," kata Anwar.

Katanya beliau dan seluruh rakyat akan terus memberi ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada institusi Raja Berperlembagaan.

Media Baharu