PUTRAJAYA, 11 Disember- Kapasiti yang ada pada penjawat awam mampu mengangkat transformasi ekonomi dan sosial.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, penjawat awam perlu menghentikan kelemahan lampau dan membina kekuatan yang ada pada diri serta menerapkan budaya mendengar kritikan dan pandangan membina.
"Saya yakin sangat, ini bukan soal pelaburan sahaja, bukan soal keyakinan negara luar sahaja, tetapi tentang kapasiti kita untuk mengangkat keupayaan ekonomi, sosial dan sebagainya.
"Sekurang-kurangnya kita sudah bagi garis-garis urutan keutamaannya (ketika) kita menggapai langit untuk mencapai ideliasme baru (bidang baharu)," katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pengarah Kesihatan Awam, Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed.
Tambah Anwar, dalam usaha negara untuk 'menggapai langit' bagi mencapai kemajuan dalam beberapa bidang baharu seperti kecerdasan buatan (AI), digital dan tenaga baharu, penjawat awam perlu menjadikan asas agama, akhlak, budaya dan nilai untuk 'mengakar bumi'.
"Kita harus sentiasa mengakar ke bumi sementara kita menggapai langit (kerana) jika kita terlalu menggapai langit, kita (akan) hilang tradisi budaya. Asas agama, akhlak, budaya, nilai itu mengakar ke bumi," katanya.
Dalam pada itu, beliau mahu prestasi penjawat awam diteruskan tahun hadapan dengan menerapkan nilai-nilai baik dalam pentadbiran dan tidak pada kedudukan selesa.
Jelasnya, nilai tersebut mampu mengangkat martabat dan darjat negara.
“Kalau kita ada nilai (baik) kita terapkan dalam MADANI, saya yakin kita boleh angkat kerajaan dan hentikan kelemahan lampau.
“Kita bina daripada kekuatan itu dan kita tinggalkan berlebih-lebihan yang berlaku, mudah-mudahan kita tutup labuh tirai 2023 dengan semangat bersama dan membuka lembaran baru sejarah negara,” katanya lagi.