ALOR SETAR, 29 April- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pengeluaran papan iklan (billboard) baharu yang memaparkan wajah dirinya dan Malaysia MADANI yang menggunakan peruntukan kerajaan dihentikan serta-merta.
Jelasnya, beliau tidak memberi kelulusan dan persetujuan untuk perkara tersebut dan beliau mahu supaya peruntukan bagi pemasangan papan iklan berkenaan dimanfaatkan kepada tujuan lain demi kepentingan rakyat.
Bagaimana pun katanya, bagi papan-papan iklan yang telah siap dan dipasang di tepi-tepi jalan boleh dikekalkan.
"Saya datang dalam perjalanan ke Alor Setar, dan semalam beritahu tentang billboard Anwar dan MADANI itu di seluruh negara, ini tidak mendapat persetujuan dan kelulusan saya.
"Saya sudah beritahu tidak payah belanja ini, dijawab oleh jabatan yang berkenaan bahawa peruntukan ini peruntukan lama dan oleh kerana pertukaran Perdana Menteri dan kerajaan (maka) ia dipindahkan," katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia MADANI di Alor Setar hari ini.

(Perdana Menteri beramah mesra bersama pengunjung di Majlis Rumah Terbuka Malaysia
MADANI di Alor Setar)
Tegasnya perkara tersebut tidak boleh diteruskan bagi membuktikan satu pendirian sebenar Kerajaan MADANI dan meminta agar perkara tersebut dihormati.
"Pegawai yang terlibat itu mungkin merasakan ini hanya meneruskan dasar yang sedia ada, jadi saya tak salahkan, kebetulan saya tidak dimaklumkan dan saya tidak boleh memberi keputusan ketika itu.
"Oleh kerana saya sudah dimaklumkan, saya tidak mahu dana kerajaan digunakan untuk buat billboard besar-besar, cukuplah yang ada tetapi tidak boleh diteruskan," ujar Anwar lagi.