fb fb fb fb fb

PM mahu KL jadi bandar raya contoh

(Anwar Ibrahim)

KEPONG, 23 Jun- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) perlu menjadi bandar raya contoh termasuk dalam aspek pembangunan dan kebersihan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kuala Lumpur juga harus menjadi bandar raya yang prihatin dan menjaga nasib rakyat keseluruhannya.

“Kuala Lumpur harus dikenal sebagai bandar raya contoh dengan kebersihannya, kepesatan pembangunan, mempercepat kelulusan dan mengelakkan kerenah pentadbiran yang melambatkan serta prihatin nasib rakyat.

"Kita pastikan rumah mewah disediakan supaya orang yang mampu dan kaya boleh hidup, tetapi kita juga kena pastikan rumah rakyat miskin dan rumah mampu milik disediakan.

"Maka, barulah perimbangan itu dijamin, barulah ada erti dan makna pembangunan,” katanya pada Sesi Temu Mesra Perdana Menteri bersama pemilik rumah mampu milik WPKL dan perasmian Taman Tasik Metropolitan Kepong di sini.

Dalam ucapan sama, Anwar juga mahu pembangunan yang seimbang dilaksana bagi memastikan kebajikan setiap lapisan masyarakat terbela, sekali gus berupaya merapatkan jurang antara golongan kaya dan kurang berkemampuan. 

"Kita bukan nak warung jadi lima bintang, tetapi kita cuma nak warung bersih. Kita bukan nak flat jadi apartmen lima bintang, tetapi sekurangnya bersih, parit bersih dan kawasan permainan anak muda disediakan. Ini konsep kita nak terapkan, jika tidak kesenjangan (ketidakseimbangan) berlaku antara kaya dan miskin akan melebar," jelas Anwar.

(Anwar Ibrahim)

Media Baharu