fb fb fb fb fb

PM luang masa tonton pementasan teater Haji Murat

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Anwar Ridhwan bergambar bersama para pelakon teater ‘Haji Murat’ pada pementasan perdananya di Balai Budaya Tun Syed Nasir Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 26 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menonton persembahan Teater Perdana ‘Haji Murat’ yang dipentaskan selama empat hari di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini bermula malam ini.

Anwar yang tiba di Balai Budaya Tun Syed Nasir diiringi isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa kira-kira satu jam menyaksikan pementasan sulung karya sasterawan ulung Rusia, Leo Tolstoy.

Anwar dalam ucapannya berkata teater berdasarkan novel pendek tulisan Tolstoy itu dianggap antara karya penceritaan yang terindah dan terbaik di dunia dan perlu dihebahkan dengan lebih meluas.

"Saya fikir perlu untuk ajak anak-anak muda lihat kekuatan novel pendek yang dianggap seperti saya sebut antara karya penceritaan yang terindah dan terbaik di dunia." katanya.

Turut hadir Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Pendidikan, Fadhlina sidek, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh dan Sasterawan Negara, Datuk Dr Anwar Ridhwan.

Sementara itu, Dr Anwar berkata skrip drama pentas itu telah disiapkan 23 tahun lalu dan dapat dipentaskan sempena Ulang Tahun ke-68 DBP.

"Karya pada malam ini terasa kehebatan kerana novelnya mengandungi pemikiran luar biasa tentang perjuangan dan pengorbanan, yang berkuasa dan yang dikuasai, mengandungi emosi yang mengguris hati," katanya.

Pementasan Teater Perdana Haji Murat yang diarahkan A Wahab Hamzah dan diuruskan Badan Budaya DBP itu melibatkan sekitar 100 pelakon termasuk nama-nama gah dalam seni teater seperti Che Kem, Dr Rusdeen Suboh dan Ard Omar.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN