KUALA LUMPUR, 16 September- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib di kediaman rasmi beliau di Seri Mutiara di George Town, hari ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkongsi perkara itu melalui hantaran di Facebook beliau.
Fahmi memaklumkan pertemuan tersebut membincangkan usaha memperkukuh hubungan dan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Pulau Pinang.
Pertemuan yang turut dihadiri Fahmi dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow itu juga bertujuan menjemput Tun Ramli secara rasmi sebagai tetamu utama ke sambutan Hari Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth, malam ini.
"Bersama YAB Perdana Menteri, kami bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh kerjasama kerajaan negeri dan persekutuan.
"Dalam bidang komunikasi, kerjasama ini amat penting kerana manfaatnya terus dirasai rakyat.
"Saya turut menjemput TYT Tun secara rasmi ke sambutan malam ini. Terima kasih TYT Tun kerana menerima kunjungan hormat kami," katanya.
Dalam hantaran terdahulu, Fahmi menyeru orang ramai memeriahkan sambutan rasmi Hari Malaysia sambil menekankan perpaduan sebagai harta paling berharga yang mesti diwariskan kepada generasi akan datang.
"Sama-sama kita raikan semangat perpaduan, kebebasan, dan cinta akan tanah air.
"Dipersilakan semua hadir memeriahkan Sambutan Hari Malaysia malam ini di PICCA, Butterworth," tulis beliau.