KUALA LUMPUR, 27 Februari- Perdana Menteri Kemboja, Tuan Yang Terutama Samdech Moha Borvor Thipadei Hun Manet tiba di Kompleks Bunga Raya hari ini untuk lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia sejak dilantik menjadi pemimpin negaranya Ogos lalu.
Manet diiringi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa Tuan Yang Terutama Sok Chenda Sophea, menteri-menteri Kabinet dan pegawai-pegawai kanan kerajaan Kemboja.
Beliau dijadualkan bertemu dengan rakan sejawatan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di pejabat rasmi Perdana Menteri pagi ini.
Manet akan disambut dalam satu majlis sambutan rasmi di Dataran Perdana Putra, Kompleks Perdana Putra, Putrajaya.
Anwar dijangka mengadakan mesyuarat dua hala bersama-sama Manet bagi membincangkan kerjasama strategik antaranya perdagangan dan pelaburan, pertanian dan komoditi, industri halal, komunikasi maklumat serta peranan Malaysia dalam pembangunan sosioekonomi komuniti Muslim di Kemboja.
Kedua-dua pemimpin itu juga akan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang kewangan inovatif dan perkhidmatan pembayaran antara Bank Negara Malaysia dan Bank Kebangsaan Kemboja.
Dalam rangka lawatan itu, Manet turut dijadual mengadakan Kunjungan Menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara.
Lawatan rasmi selama sehari itu dijangka dapat mengukuhkan kerjasama dua hala kedua-dua negara terutamanya pembangunan ekonomi, menggalakkan perdagangan dan pelaburan dua hala, kerjasama pelancongan serta memupuk hubungan erat antara kedua-dua kerajaan.