fb fb fb fb fb

PM ke Thailand: Empat MoU kerjasama tenaga, digital bakal dimeterai

BANGKOK, 8 Februari- Empat memorandum persefahaman (MoU) akan dimeterai bersempena lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Thailand.

Pemeteraian keempat-empat MoU tersebut akan memberi peluang kepada kedua-dua buah negara untuk meneroka potensi kerjasama dalam bidang tenaga dan ekonomi digital yang menjadi kepentingan bersama.

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, MoU tersebut melibatkan Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (MDEC) dengan Digital Economy Promotion Agency of Thailand, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan Electricity Generating Authority of Thailand, TNB Renewables Sdn Bhd dengan Planet Utility dan TNB Power Generation Sdn Bhd dengan B.Grimm Power Public.

"Kita menjangkakan jadual Perdana Menteri begitu padat sekali dua hari beliau dan rombongan berada disini. Anwar akan bertemu dengan 'captain of industry' dan masyarakat perniagaan di Thailand dalam satu program dan ucapan oleh Perdana Menteri turut akan dihadiri mereka yang terlibat dalam sektor perdagangan," katanya.

Dalam lawatan rasmi tersebut, kedua-dua pemimpin juga akan membincangkan bidang utama lain seperti pembangunan kawasan sempadan dan projek-projek kesalinghubungan di kawasan sempadan darat.

Turut akan diberi perhatian ialah isu serantau antarabangsa yang berkepentingan. 

Penganalisis Hubungan Antarabangsa Universiti Thammasat Thailand, Profesor Dr Jaran Maluleem menyifatkan, hubungan kukuh kedua-dua negara bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat.

Malah ia bakal menyerlahkan lagi kepimpinan dan pengalaman Anwar.


(Empat memorandum persefahaman (MoU) akan dimeterai bersempena lawatan rasmi
dua hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar ke Thailand)

"Anwar boleh menjadi pemimpin contoh yang baik sejak beliau di usia muda.

Beliau bekerja sebagai aktivis dan pemikir Islam. Beliau juga sering datang ke Thailand kerana dijemput oleh beberapa pertubuhan Islam, jadi sebenarnya beliau sendiri cukup kenal dengan masyarakat Thailand dan padan masa yang sama saya rasa beliau juga banyak menyumbang kepada pertumbuhan ASEAN semasa beliau dalam kerajaan dahulu," katanya.

Lawatan kali ini juga menyaksikan Perdana Menteri dijadual mengadakan satu sesi libat urus dengan diaspora Malaysia di Bangkok.

Pada tahun 2022, Thailand merupakan rakan dagangan ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN.

Dengan jumlah dagangan bernilai RM122.03 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 17.9 peratus berbanding nilai yang dicatatkan pada tahun 2021.

Laporan wartawan Farhana Azwanee Ismail.

Media Baharu