PM ke Jakarta pada Jumaat, bincang krisis Asia Barat

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Prabowo Subianto (Foto Reuters) dijadual melakukan pertemuan pada Jumaat ini bagi membincangkan perkembangan semasa geopolitik Asia Barat

KUALA LUMPUR, 26 Mac- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan khas ke Jakarta pada Jumaat ini (27 Mac 2026) bagi membincangkan perkembangan semasa geopolitik Asia Barat yang semakin meruncing selain memperkukuh kerjasama dua hala.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lawatan atas undangan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto untuk memperkukuh kerjasama dua hala.
  • Perbincangan fokus pada konflik Asia Barat yang menjejaskan kestabilan serantau dan ekonomi global serta implikasi kepada Malaysia dan Indonesia.
  • Kedua pemimpin akan mempergiat usaha diplomasi bagi meredakan ketegangan dan memastikan kelangsungan laluan perdagangan.
  • Menekankan peranan ASEAN yang bersatu dan berprinsip untuk mempertahankan keamanan, kestabilan serantau dan daya tahan ekonomi.

Wisma Putra menerusi kenyataan hari ini memaklumkan lawatan itu diadakan atas undangan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.

Pertemuan Datuk Seri Anwar dan Prabowo menumpukan pada perkembangan geopolitik, khususnya konflik di Asia Barat yang menjejaskan kestabilan serantau dan ekonomi global serta memberi implikasi kepada Malaysia dan Indonesia.

“Dalam konteks tersebut, kedua-dua pemimpin dijangka akan mempergiat usaha diplomasi bagi meredakan ketegangan serta memastikan kelangsungan laluan perdagangan dan rantaian bekalan globa yang kritikal kepada kesejahteraan rakyat,” menurut kenyataan.

Tambah kenyataan itu, pertemuan kedua-dua pemimpin tersebut turut akan menekankan kepentingan memperkukuh peranan ASEAN sebagai blok yang bersatu dan berprinsip supaya rantau ini mampu bertindak secara kolektif dalam memelihara keamanan, mengekalkan kestabilan serantau serta memastikan daya tahan ekonomi dalam keadaan ketidaktentuan global.