PM hubungi pemimpin Pakistan, Afghanistan saran penyelesaian secara diplomasi

KUALA LUMPUR, 19 Oktober -Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghubungi Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif dan Pemangku Perdana Menteri Afghanistan Mullah Mohammad Hassan Akhund lewat malam tadi, bagi menyuarakan kebimbangan Malaysia terhadap peningkatan ketegangan di sepanjang sempadan kedua-dua negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri menghubungi pemimpin Pakistan dan Afghanistan kerana kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan sempadan.
  • Menegaskan kepentingan mencari penyelesaian secara damai melalui diplomasi dan dialog.
  • Menggesa usaha mengelakkan konflik berpanjangan yang menjejaskan keamanan dan kesejahteraan rakyat.
  • Malaysia menyatakan sokongan bantuan kemanusiaan dan inisiatif rundingan damai serantau, termasuk usaha di bawah Qatar.

Dalam perbualan telefon itu Datuk Seri Anwar menegaskan kepentingan bagi mencari penyelesaian secara damai melalui saluran diplomasi dan dialog.

Perkara itu demi mengelakkan konflik berpanjangan yang hanya akan membawa kesengsaraan kepada rakyat serta menjejaskan keamanan serta kestabilan rantau ini.

“Dalam masa sama, saya turut menzahirkan rasa dukacita dan simpati mendalam atas musibah banjir yang melanda Pakistan serta gempa bumi yang menggegarkan timur Afghanistan baru-baru ini.

“Malaysia akan terus berdiri teguh bersama Pakistan dan Afghanistan, serta komuniti antarabangsa, dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan, memperkukuh semangat persaudaraan Islam dan menyokong segala inisiatif ke arah keamanan serta kestabilan serantau termasuk rundingan damai yang sedang diusahakan bawah kelolaan Kerajaan Qatar,” katanya menerusi hantaran di Facebook.