KUALA LUMPUR, 2 Oktober - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pasukannya sedang giat berhubung dengan pihak berkepentingan, termasuk melalui saluran diplomatik, bagi memastikan sukarelawan serta aktivis dari Malaysia, ASEAN dan antarabangsa yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) dibebaskan segera.
Beliau menerusi hantaran Facebook memaklumkan bahawa perkembangan setiap proses menuju pembebasan akan dimaklumkan dari masa ke masa.
"Kepada ahli keluarga semua aktivis dan sukarelawan, semoga terus diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi detik mencabar ini.
"Marilah kita bersama-sama memanjatkan doa agar semua tahanan, khususnya warga Malaysia, berada dalam keadaan selamat dan terpelihara," menurut hantaran itu.
Konvoi GSF melibatkan 10 buah kapal yang membawa 23 rakyat Malaysia, dijadualkan tiba di pesisiran pantai Gaza sekitar pukul 6.32 petang waktu Malaysia hari ini.
Namun, perjalanan tersebut terganggu selepas kapal-kapal berkenaan dipintas pihak tentera Israel.
Sehingga pukul 1.00 tengah hari tadi, Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan bahawa seramai 12 rakyat Malaysia telah ditahan selepas kapal mereka memasuki zon merah R3, iaitu kira-kira 100 batu nautika dari pesisiran pantai Gaza.
Mereka yang ditahan terdiri daripada selebriti, aktivis kemanusiaan dan sukarelawan termasuk Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Norfarahin Romli atau Farah Lee; Danish Nazram Murad (Grande Blu); dan Nur Fazelah Mad Tahil atau Zizi Kirana (Huga).
Turut ditahan ialah Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairudin, Rusydi Ramli (Sirius), Iylia Balqis, Musa Nuwayri dan Sul Aidil (Alma).
Sementara itu, lima lagi rakyat Malaysia yang menaiki kapal Estrella dan Mikeno dilaporkan terputus hubungan dengan SNCC. Status sama ada kapal-kapal tersebut turut dipintas atau ditahan Tentera Laut Israel masih belum dapat disahkan setakat ini.
Tiga kapal lain – Fair Lady, Free Willy dan Inana – yang turut membawa rakyat Malaysia disahkan masih belayar dan mengekalkan komunikasi dengan pusat gerakan operasi.
Rakyat Malaysia yang berada di atas kapal-kapal tersebut ialah Zainal Rashid Ahmad dan Ustaz Muhammad Abdullah (Fair Lady), Muhammad Hareez Adzrami dan Dr Taufiq Mohd Razif (Free Willy), serta Razali Awang (Inana).