fb fb fb fb fb

PM gesa kerajaan negeri bersama jayakan hasrat modenkan pentadbiran tanah

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 September - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan negeri untuk bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan menjayakan hasrat memodenkan pentadbiran tanah di negara ini.

Menerusi hantaran di laman Facebook selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tanah Negara Ke-81 pagi tadi, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata selain bertujuan meningkatkan kecekapan tadbir urus demi kepuasan rakyat dan pelabur, perkara berkenaan juga menjadi antara kayu ukur dalam penilaian Bank Dunia.

"Selain itu, saya turut tekankan kepentingan melipatgandakan produktiviti guna tanah dan tidak hanya bergantung kepada keluasan kawasan semata-mata dalam mencapai matlamat negara.

"Alhamdulillah, mesyuarat menerima baik segala pandangan amalan terbaik yang turut dikongsi oleh kerajaan negeri," katanya.

Perdana Menteri berkata mesyuarat itu adalah platform bagi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri merundingi dasar berkaitan pentadbiran tanah selain menjadi antara pemangkin kepada konsep Kerajaan MADANI yang mengupas keperluan rakyat dari aspek pertumbuhan ekonomi serta tatakelola berkesan.

Pada masa sama, beliau meminta persefahaman dan pemuafakatan kerajaan negeri untuk mengimbangi antara keutamaan negeri dengan dasar di peringkat Persekutuan khususnya agar selaras dengan komitmen Kerajaan Malaysia di medan antarabangsa.

"Antaranya terkait iltizam untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus litupan kawasan berhutan sebagai langkah adaptasi dan mitigasi bagi mengimbangi kesan perubahan iklim serta pemuliharaan biodiversiti," katanya. - BERNAMA

Trainee2