fb fb fb fb fb

PM disambut penuh istiadat di Paris

Sambutan rasmi penuh istiadat diadakan di Hôtel National des Invalides, Paris. Foto BERNAMA

PARIS, 4 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dirai dalam satu majlis sambutan rasmi di Paris bersempena lawatan dua hari beliau ke Perancis. Sambutan rasmi penuh istiadat itu diadakan di Hôtel National des Invalides.

Perdana Menteri disambut Menteri Ekonomi, Kewangan, Industri dan Kedaulatan Digital Perancis, Eric Lombard. Majlis dimulakan dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan pancaragam Pasukan Pengawal Republik. Perdana Menteri kemudian memeriksa kawalan kehormatan.

Menurut Datuk Seri Anwar, sambutan adalah penghormatan tinggi yang mencerminkan keakraban dua negara. Ia turut melambangkan komitmen berterusan untuk memperkukuh kerjasama strategik pelbagai bidang.

Kali terakhir ketua eksekutif negara adakan lawatan ke bumi Perancis ini adalah pada tahun 2006. Selepas hampir dua dekad, Perdana Menteri Malaysia kembali ke sini, dengan misi lebih besar buat rakyat.

Perancis kekal sebagai antara lima rakan dagang utama Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah. Pada 2024, jumlah dagangan dua hala mencecah RM15.95 bilion (AS$3.63 bilion), dengan RM6.26 bilion (AS$1.49 bilion) direkodkan bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Selepas lawatan kerja di Perancis, Datuk Seri Anwar akan berlepas ke Brazil bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS dari 5 hingga 7 Julai.

 

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI