PM dianugerahkan darjah kebesaran tertinggi Turkiye

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima anugerah Order of the Republic yang disampaikan oleh Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan / BERNAMA

ANKARA, 8 Januari -Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dianugerahkan Order of the Republic, darjah kebesaran tertinggi Turkiye.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anugerah Order of the Republic sebagai pengiktirafan terhadap peranan Anwar memperkukuh hubungan Malaysia-Turkiye.
  • Anugerah disampaikan oleh Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dalam majlis rasmi di Kompleks Presiden.
  • Anwar menerima penganugerahan dengan penuh syukur dan rendah diri.
  • Anugerah dipersepsikan sebagai penghormatan kepada seluruh rakyat Malaysia, bukan kapasiti peribadi.
  • Peristiwa ini mencerminkan persahabatan lama berdasarkan kepercayaan, hormat dan aspirasi untuk keamanan serta kemakmuran.

Penganugerahan itu sebagai pengiktirafan terhadap peranan beliau dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Turkiye.

Anugerah berkenaan disampaikan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dalam satu majlis rasmi di Kompleks Presiden, bersempena lawatan rasmi tiga hari Datuk Seri Anwar ke republik itu.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Sementara itu, Datuk Seri Anwar dalam satu kenyataan berkata, beliau menerima penganugerahan itu dengan penuh rasa syukur dan rendah diri.

Menurut beliau, anugerah berkenaan bukan diterima atas kapasiti peribadi, sebaliknya sebagai penghormatan kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Penganugerahan ini juga melambangkan keakraban persahabatan yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara, berteraskan kepercayaan, saling menghormati dan aspirasi bersama untuk keamanan serta kemakmuran sejagat,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri turut menghadiri majlis makan malam rasmi bagi meraikan lawatan beliau ke Turkiye.