fb fb fb fb fb

PM beri amaran, tindakan tegas menanti pencetus perkauman

Anwar berucap pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 malam tadi/Foto PMO

PUTRAJAYA, 31 Ogos - Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk meminda dan menambah peruntukan undang-undang bagi menangani isu hasutan perkauman yang boleh mengancam keharmonian negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa menjadi tugas kerajaan untuk menyelamatkan negara daripada hasutan kelompok kecil yang cuba mencetuskan keganasan, kebencian, dan permusuhan antara rakyat.

"Jika ada mana-mana kelompok kecil yang membawa hasutan kaum ke arah keganasan dan kebencian serta permusuhan antara satu sama lain, saya tidak peduli sama ada ia disenangi oleh media antarabangsa atau negara luar.

"Tugas kita adalah untuk menyelamatkan negara Malaysia yang tercinta ini, dan kita akan gunakan segala kuasa dan kekuatan yang ada," tegas Anwar dalam ucapannya pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 malam tadi.

Anwar juga memberi amaran bahawa kerajaan akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba merosakkan perpaduan negara daripada ancaman hasutan perkauman.

GRACE AISYAH KEDAYAN