fb fb fb fb fb

Anwar seru rakyat Malaysia angkat darjat, martabat negara

Anwar menyeru generasi muda agar terus berjuang mencari kebenaran dan keadilan, serta tidak mudah diperalatkan atas nama kaum dan agama/Foto PMO

KUALA LUMPUR, 31 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa kemerdekaan negara bukan sekadar bebas dari penjajahan, tetapi harus dimaknai dengan semangat perpaduan dan jiwa rakyat yang benar-benar merdeka.

Dalam satu hantaran di laman Facebooknya, beliau mengingatkan tentang pengorbanan para pejuang terdahulu yang telah berjuang untuk membebaskan negara daripada penjajahan.

Anwar turut mengimbau bagaimana hasil kekayaan negara selama ratusan tahun telah dieksploitasi oleh kuasa Barat hasil daripada eksploitasi kekayaan dan sumber dari tanah-tanah jajahan selama ratusan tahun.

"Kebijakan imperialisme Barat telah memungkinkan (membolehkan) tertegaknya gedung-gedung megah di Barat, terutamanya di kota London dan kota-kota megah yang lain di Britain yang terhasil dari penggeledahan khazanah dari bumi bertuah ini selama ratusan tahun -- yang tentunya melibatkan keringat, darah dan air mata bangsa.

"Saya tegaskan merdeka akan hilang ruhnya sekiranya sistem penjajah diganti dengan sistem baru yang juga bersifat pemerasan. Pengkhianatan seperti ini tidak boleh dibiarkan berulang dan perlu ditentang segenap lapisan rakyat."

"Justeru, ayuh bersama kita manfaatkan sambutan kemerdekaan ini dengan menjulang semangat jiwa merdeka dan perpaduan, serta saling berpaut antara satu sama lain untuk bersama-sama mengangkat darjat dan martabat Malaysia ke tahap yang lebih hebat," katanya.

Perdana Menteri turut menyingkap perjuangan tokoh-tokoh dunia seperti Simón Bolívar, Kwame Nkrumah, dan Jawaharlal Nehru yang menentang imperialisme di pelbagai benua.

Ini termasuk menyebut tentang persidangan Afro-Asia di Bandung pada tahun 1955 sebagai titik tolak untuk memerangi sebarang bentuk penjajahan.

Anwar juga mengingatkan bahawa kemerdekaan boleh kehilangan makna jika sistem penjajah diganti dengan sistem baru yang masih menindas rakyat.

Beliau mengaitkan isu Batu Puteh sebagai contoh pengkhianatan yang telah menghakis kedaulatan negara dan menegaskan bahawa pengkhianatan seperti itu tidak boleh dibiarkan berulang.

"Saya tegaskan merdeka akan hilang ruhnya sekiranya sistem penjajah diganti dengan sistem baru yang juga bersifat pemerasan," katanya.

Beliau menyeru generasi muda agar terus berjuang mencari kebenaran dan keadilan, serta tidak mudah diperalatkan atas nama kaum dan agama.

Anwar mengakhiri amanatnya di hadapan kira-kira 7,000 tetamu yang hadir di Putrajaya dengan petikan puisi "Hidup Bersama" karya sasterawan negara, A. Samad Said.

GRACE AISYAH KEDAYAN