fb fb fb fb fb

Anwar terima kunjungan hormat Setiausaha Jawatankuasa Guangxi, China

KUALA LUMPUR, 7 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Setiausaha Jawatankuasa Guangxi dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Guangxi, China, Liu Ning dan delegasi di Putrajaya pada Khamis.

Anwar menerusi catatan di Facebook berkata antara perkara yang dibincangkan adalah pencapaian perkongsian sinergi di bawah inisiatif ‘Dua Negara, Taman Berkembar’ dalam menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan dan menjana aktiviti hiliran kepada komuniti perniagaan tempatan.

Tambahnya, kunjungan hormat tersebut merupakan sebahagian daripada program lawatan rasmi TYT Liu Ning ke Malaysia.

"Kunjungan ini bagi meraikan sedekad pencapaian hubungan usaha sama dalam pembangunan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) dan Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia (CMQIP).

“Kedua-dua taman perindustrian ini telah dibangunkan berlandaskan konsep ‘Dua Negara, Taman Berkembar’, di mana MCKIP merupakan taman perindustrian pertama yang dibangunkan secara bersama di luar negara oleh China,” jelas Anwar.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Setiausaha Jawatankuasa Guangxi
dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Guangxi, China, Liu Ning dan delegasi di Putrajaya pada Khamis/FOTO Facebook Anwar Ibrahim)

Beliau turut menekankan tentang peranan Taman Perindustrian Berkembar sebagai usaha untuk mengukuhkan kerjasama merentasi industri menerusi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) berimpak tinggi.

Pada pertemuan itu juga Anwar menyentuh bidang-bidang strategik lain, termasuk industri hijau, perdagangan barangan halal dan minyak sawit yang akan memberikan faedah kepada kedua-dua negara.

“TYT Liu Ning turut menjemput syarikat Malaysia untuk melabur di CMQIP bagi mengakses pasaran China menerusi taman perindustrian tersebut.

“Kerajaan Wilayah Guangxi juga menawarkan pelbagai insentif untuk menarik pelaburan dari syarikat Malaysia dalam sektor yang berpotensi tinggi,” katanya.

Untuk rekod, MCKIP mencatakan pelaburan terkumpul bernilai RM30.1 bilion untuk 19 projek dan mewujudkan lebih 17,000 peluang pekerjaan sepanjang dekad yang lalu.

Media Baharu