fb fb fb fb fb

PM adakan pertemuan dengan Presiden Timor-Leste

(Perdana Menteri dan Dr José Ramos-Horta di Kompleks Seri Perdana)

PUTRAJAYA, 12 Disember- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan bersama Presiden Republik Demokratik Timor-Leste, Dr José Ramos-Horta di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya hari ini.

Keberadaannya di Malaysia merupakan pertemuan sulung dengan Datuk Seri Anwar selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10.

Selain mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, pertemuan dua hala itu turut bertujuan menilai kemajuan kerjasama antara Malaysia dan Timor Leste serta meneroka ruang kerjasama yang baharu.

Presiden Ramos-Horta juga dijadual mengadakan kunjungan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara semasa lawatan ini.

Malaysia dan Timor-Leste telah mengekalkan hubungan yang erat sejak sebelum kemerdekaan Timor-Leste pada tahun 2002.

Ini terbukti apabila Malaysia merupakan negara pertama yang menubuhkan Pejabat Perhubungan di Dili pada 13 April 2001 dan negara pertama di kalangan negara-negara ASEAN yang menubuhkan Kedutaan Besar di Dili pada 19 Mei 2002.

Malaysia secara aktif sentiasa menyokong Timor-Leste dari aspek pembangunan sosial, keselamatan dan ekonomi terutamanya dalam menyediakan kursus latihan pembinaan kapasiti untuk para pegawai Timor-Leste melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).


(Perdana Menteri (KANAN) dan Dr José Ramos-Horta di Kompleks Seri Perdana)

Media Baharu