fb fb fb fb fb

Platform RTMKlik, terima hampir 100 juta pelawat tahun lalu

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 1 April- Hampir 100 juta pelawat telah memanfaatkan aplikasi penstriman langsung RTMKlik sepanjang tahun lalu.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata RTM berpotensi muncul sebagai pembangun kandungan media baharu setanding pemain industri lain di negara.

"Kita sudah luncurkan RTMKlik dan telah dimanfaatkan beberapa tahun. Potensi itu sangat besar. Kita nampak ada peluang untuk kita bangunkan kandungan, bangunkan cara kita berkomunikasi melalui OTT (Over-the-Top) aplikasi ini yang membolehkan kita menyampaikan maklumat terus kepada pengguna melalui peranti."

"Malah kalau kita tengok sekarang ini pun, RTMKlik telah dimuat turun lebih lima juta kali dan penonton penstriman TV, telah cecah 11 juta untuk tempoh Januari hingga Mac 2024. Jumlah yang agak baik manakala untuk radio sudah cecah 17 juta, dalam tempoh sama," kata Fahmi kepada dalam Rancangan Naratif Khas, 78 Tahun RTM Tetap Unggul di Angkasapuri, hari ini.

Jelasnya, Teknologi AI atau kecerdasan buatan merupakan peluang terbaik bagi penghasilan kandungan dan program baharu RTM selain memanfaatkan khazanah dan hak cipta sedia ada.

Sementara itu, Fahmi turut menegaskan bahawa toleransi dan sifat wasatiyah perlu menjadi teras kepada rakyat di Malaysia.

Jelas Fahmi, ia penting bagi mengelakkan berlakunya sebarang pergeseran dalam komuniti.

"Kita ada peranan masing-masing. Kita perlu bertoleransi, faham adab, batas dan budaya-budaya itu. Tetapi pada masa sama, kita tidak boleh mengambil tindakan di luar jalur hukum. Kita tidak boleh ambil tindakan sesuka hati, baling bola api, pergi rosakkan roti di kedai sekian-sekian."

Kita perlu akur, serahkan tindakan kepada pihak berkuasa dan kita perlu meletakkan kepercayaan kepada sistem perundangan. Jadi, toleransi kesederhanaan atau sikap wasatiyah itu harus menjadi teras kepada rakyat Malaysia," tambah Fahmi.

Jelasnya, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) turut berperanan dalam usaha membudayakan toleransi dan kesederhanaan dalam kalangan masyarakat.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM