IPOH, 10 Disember- Kenaikan nilai ambang pengecualian e-invois daripada RM500,000 kepada RM1 juta mulai tahun depan disambut baik usahawan kecil dan sederhana di Perak.
Perubahan itu melegakan peniaga yang sebelum ini bimbang terhadap kos tambahan serta kemampuan mereka mengurus sistem digital baharu tersebut.
Bagi usahawan kecil, pelaksanaan e-invois masih menjadi cabaran kerana mereka perlu berdepan kos perisian, latihan, serta integrasi sistem digital bagi memastikan operasi mereka berjalan lancar.
“Kerumitan e-invois ini sebenarnya melibatkan beberapa faktor, termasuk keperluan menyediakan kakitangan khusus atau mendapatkan khidmat juru audit luar untuk mengendalikannya, yang tentunya meningkatkan perbelanjaan. Kami mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan MADANI kerana menaikkan ambang e-invois daripada RM500,000 kepada RM1 juta," kata Zahari Abd Murad, Timbalan YDP Persatuan Penjaja & Peniaga Kecil Melayu Perak.
“Selama ini pembelian dilakukan secara tradisional. Pelanggan bayar, kita terima, cepat dan mudah. Tetapi dengan e-invois, kita perlu taip dan masukkan data, menjadikan proses lebih rumit. Selain itu, ramai peniaga tidak mahir teknologi dan ada kawasan kampung yang menghadapi masalah rangkaian internet. Jika kerajaan dapat membantu menangani kekangan ini, mungkin pelaksanaan e-invois boleh dibuat, tetapi perlu secara berperingkat," kata Khairul Ahmad, usahawan ayam gunting.
“Pertamanya, kami berasa lega kerana tidak perlu lagi bersusah payah membuat deklarasi kepada Lembaga Hasil. Untuk e-invois, kita perlu deklarasi dan jika tidak mahir, terpaksa ambil konsultan, yang memerlukan modal tambahan. Jadi, apabila jualan di bawah RM1 juta tidak lagi diwajibkan melaksanakan e-invois, ia sangat meringankan beban kami," kata Musalmah Mat Asin, pengusaha restoran.
Kenaikan ambang kepada RM1 juta juga membantu melancarkan operasi kebanyakan PKS di Perak, terutama perniagaan kecil yang masih menyesuaikan diri dengan keperluan digital, tanpa perlu tergesa-gesa membuat pelaburan besar dalam masa terdekat.