JOHOR BAHRU, 10 Disember - Semua Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi kerja pembaikan jalan runtuh di Kilometer 52, Jalan Kuala Jeneris–Sungai Gawi–Aring berhampiran Bukit Kawah, Terengganu dipatuhi sepenuhnya.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, setiap SOP keselamatan merupakan prosedur wajib bagi memastikan pengguna jalan raya berhati-hati serta menyedari kewujudan risiko di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, pemasangan penghadang konkrit juga bukan daripada jenis mudah alih, bahkan tanda amaran yang digunakan di lokasi berkenaan adalah daripada standard yang tinggi.
"Itu prosedur kita apabila berlaku insiden di jalan raya. Memang kita letakkan semua keperluan keselamatan seperti tanda amaran dan penghadang bagi membantu pengguna jalan raya supaya berhati-hati serta mengetahui bahawa terhadap masalah di lokasi berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) di Persada Johor International Convention Centre di sini.
Datuk Seri Alexander turut memaklumkan, kejadian tanah runtuh di lokasi berkenaan berlaku pada November 2024, namun kerja pembaikan hanya dapat dilaksanakan kini kerana projek itu memerlukan peruntukan besar, iaitu RM36 juta yang diluluskan pada Mac lalu.
Kerja pembaikan dijangka bermula dalam masa terdekat, selepas proses lantikan kontraktor selesai.
Ditanya mengenai aspek kecuaian pengguna jalan dalam insiden itu, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.
Jumaat lepas, sepasang bakal pengantin yang menaiki SUV dari arah Hulu Terengganu menuju ke Gua Musang maut, selepas kenderaan yang dinaiki terbabas dan terhumban ke dalam gaung sedalam 61 meter di laluan berkenaan.