fb fb fb fb fb

LRT laluan Shah Alam dalam fasa ujian, pentauliahan

Amir Hamdan

SHAH ALAM, 10 Disember - Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengesahkan bahawa Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Shah Alam tidak akan beroperasi pada tahun ini kerana projek tersebut masih berada dalam Fasa Pengujian dan Pentauliahan (Testing & Commissioning).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan, berkata, pengesahan itu dibuat selepas mendapati beberapa isu teknikal melibatkan aspek keselamatan, operasi dan prestasi sepanjang fasa ujian larian tanpa gagal (fault-free run) (FFR) yang bermula pada 26 Ogos lalu.

"Sebagaimana yang saya maklumkan tadi, setakat hari ini kita perlu memastikan proses Testing & Commissioning (T&C) berjalan dengan baik. Kita berharap menjelang pertengahan Januari, kita akan memperoleh pengesahan yang lebih jelas berhubung kepastian perkhidmatan bagi laluan ini.

"Pada ketika ini, saya sebagai wakil Prasarana ingin memaklumkan bahawa kami masih belum mempunyai kepastian penuh dan perkara-perkara lain yang masih dalam proses ujian yang sewajarnya.

"Sebelum kita dapat mengumumkan tarikh operasi baharu bagi Laluan Shah Alam, semua proses ini perlu diselesaikan terlebih dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi taklimat media berhubung operasi LRT Laluan Shah Alam di sini, hari ini.

Untuk tren utama atau "Golden Train", ujian FFR memerlukan pemanduan tanpa henti sejauh 4,000 kilometer (km) tanpa sebarang masalah.

Untuk tren lain dalam kumpulan sama, jarak ujian ialah 3,000 km, manakala tren lain pula perlu menamatkan 2,500 km sebelum dibenarkan beroperasi.

Setakat ini, sebanyak 11 percubaan FFR telah dijalankan, namun jarak perbatuan yang ditetapkan masih belum dicapai kerana terdapat beberapa masalah teknikal sepanjang proses tersebut.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI