PKR Kedah rangka gerak kerja strategik ‘rebut’ kembali kerusi Parlimen, DUN

Pengerusi Pakatan Harapan Kedah, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mempengerusikan Mesyuarat PKR Kedah Bilangan 1/2026 semalam/Foto Facebook Saifuddin Nasution

ALOR SETAR, 16 Januari — Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah merangka gerak kerja strategik bagi “merebut” kembali kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu menerusi pengukuhan jentera pilihan raya akan datang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rangka gerak kerja strategik untuk merebut kembali kerusi Parlimen dan DUN melalui pengukuhan jentera pilihan raya.
  • Perancangan menumpukan agenda kebajikan rakyat dan pendekatan politik matang, berprinsip serta berpaksikan kepentingan awam.
  • Penstrukturan semula organisasi dengan gabungan kepimpinan berpengalaman dan baharu untuk luaskan sokongan akar umbi.
  • Tonjolkan kejayaan Kerajaan MADANI dan kekal sebagai pembangkang bertanggungjawab melakukan fungsi semak dan imbang.

Pengarah Komunikasi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah, Tunku Nashrul Abaidah, berkata perkara itu antara tumpuan utama Mesyuarat MPN KEADILAN Kedah Bilangan 1/2026 yang diadakan semalam bagi memperkukuh hala tuju parti di peringkat negeri.

“Mesyuarat semalam bagi meneliti serta memperkukuh hala tuju organisasi parti di peringkat negeri, seiring keperluan memperkasa jentera dan kesiapsiagaan menghadapi cabaran politik semasa serta mendatang.

“Tumpuan diberikan kepada perancangan gerak kerja strategik bagi memenangkan kembali kerusi-kerusi Parlimen dan DUN di Kedah, termasuk pengukuhan jentera pilihan raya, pemantapan agenda kebajikan rakyat serta pendekatan politik yang matang, berprinsip dan berpaksikan kepentingan awam,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata mesyuarat itu turut membincangkan penstrukturan semula organisasi parti melalui gabungan kepimpinan berpengalaman dan baharu yang progresif bagi meluaskan sokongan akar umbi di seluruh negeri.

Menurutnya, KEADILAN Kedah juga akan mempergiat usaha menonjolkan kejayaan serta inisiatif Kerajaan MADANI yang memberi manfaat langsung kepada rakyat Kedah.

Antaranya merangkumi aspek ekonomi, kebajikan, pendidikan, infrastruktur dan kesejahteraan sosial.

Dalam pada itu, beliau berkata parti berkenaan kekal komited memainkan peranan sebagai pembangkang yang bertanggungjawab di DUN Kedah menerusi pelaksanaan fungsi semak dan imbang secara konstruktif, berfakta dan berteraskan kepentingan rakyat.

“(Ini) demi memastikan tadbir urus negeri yang telus dan berintegriti.

“KEADILAN Kedah tekad bergerak dengan pendekatan lebih terusun dan berkesan, memastikan parti ini kekal relevan sebagai wadah perjuangan rakyat,” katanya.