fb fb fb fb fb

Pintu pagar kediaman MB Kedah disimbah cat

ALOR SETAR, 17 Oktober- Papan tanda dan pagar di pintu masuk kediaman rasmi Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon, Alor Setar, Kedah ditemukan dengan simbahan cat merah dan biru pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata siasatan sedang dilakukan untuk mengenal pasti individu yang melakukan kegiatan itu.

Katanya, tiada kerosakan berlaku di tempat kejadian cuma hanya simbahan cat yang boleh dicuci semula.

Kejadian disedari kakitangan pos pengawal di pintu masuk pada pukul 9.55 pagi tadi.

"Bilik gerakan IPD Kota Setar menerima laporan daripada pondok pengawal berhubung kejadian simbah cat di bahagian pintu masuk bangunan Menteri Besar Kedah. Jadi, hasil siasatan awal mendapati empat plastik cat iaitu dua plastik cat berwarna biru dan dua lagi berwarna merah ditinggalkan oleh suspek. Kes tersebut disiasat di bawat Seksyen 427 Kanun Keseksaan," kata Ahmad Shukri kepada RTM dalam satu sidang media.


(Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Ahmad Shukri Mat Akhir)

Tambah Shukri, pihaknya percaya berkemungkinan kejadian itu berlaku sekitar awal pagi tadi.

Pihaknya mengambil rakaman kamera rakaman litar tertutup (CCTV) berhampiran lampu isyarat Pantai Johor bagi membantu siasatan memandangkan kawasan berhampiran kejadian tiada CCTV.

Dalam pada itu, ACP Ahmad Shukri turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Difahamkan, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika ini berada di Kuala Lumpur atas urusan rasmi kerajaan negeri.

Media Baharu