
SEREMBAN, 9 Februari– Negeri Sembilan FC mempunyai peluang 90 minit lagi untuk menebus kekurangan pada aksi timbal balik suku akhir Piala Malaysia menentang Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 14 Feb ini.
- Negeri Sembilan FC masih ada 90 minit untuk tebus kekurangan pada perlawanan timbal balik menentang Selangor.
- Nidzam tekankan pasukan perlu jaringkan lebih daripada dua gol dan kekal positif menjelang pertemuan kedua.
- Selangor menang 1-0 menerusi penalti Chrigor Moraes pada minit akhir di Paroi.
- Ketua jurulatih Selangor puji ketahanan mental pasukan dan tekankan persiapan rapi untuk perlawanan timbal balik.
Ketua jurulatihnya Mohd Nidzam Jamil berkata meskipun jaringan tunggal pasukan lawan menerusi sepakan penalti sukar diterima, beliau yakin pasukannya masih berpeluang mengubah keputusan dalam pertemuan seterusnya.
“Pasukan sudah bolos di minit akhir tiga kali di sini. Kita perlu kekal positif dan melihat 90 minit perlawanan timbal balik sebagai peluang untuk menebus apa yang hilang pada pertemuan pertama.
“Untuk perlawanan seterusnya, kita perlu menjaringkan lebih daripada dua gol. Kita mesti yakin peluang itu masih ada. Jika 90 minit itu dianggap tiada, kita bukan pasukan berjiwa besar,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Pada aksi pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi, Selangor FC membawa pulang bekalan satu gol yang diperoleh menerusi sepakan penalti Chrigor Moraes pada minit akhir perlawanan selepas dijatuhkan Muhammad Harith Samsuri.
Sementara itu, Ketua jurulatih Selangor Kim pAn Gon menyifatkan kemenangan anak buahnya itu didorong ketahanan dan keadaan mental yang kukuh.
Beliau berkata pendekatan taktikal pasukan dengan menumpukan usaha mencipta peluang sejak awal perlawanan dan mengekalkan kawalan sepanjang 90 minit perlawanan.
“Saya bangga dengan prestasi pemain Selangor. Perlawanan hari ini mencabar, tetapi mereka menunjukkan prestasi yang baik. Kami sedang membangunkan gaya permainan Selangor yang tersendiri dan ssaya rasa perlawanan ini sangat mencabar.
“Kita perlu buat persiapan rapi untuk perlawanan timbal balik di laman sendiri. Satu gol tidak mencukupi,” katanya.
Pan Gon yang turut menerima kad kuning susulan membantah keputusan pengadil membatalkan gol Moraes pada minit ke-76 selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) malam tadi, turut memohon maaf atas kesilapannya itu.- BERNAMA